Sunday 10 November 2013

Kesalahan Diadili Keadilan

Semua orang di dunia ini melakukan kesalahan, begitu juga saya. Akan tetapi kesalahan yang dilakukan mestilah dibalas dengan hukuman yang setimpalnya dan berlandaskan undang-undang serta hak asasi manusia. Balasan yang diberi bukanlah berlandaskan emosi dan sikap dengki sesama manusia menjadi tunjang utama dalam menghukum seseorang.


Merujuk kepada tajuk penulisan saya, mari saya bawa kalian imbau kembali kematian seorang penjenayah 4 tahun lalu. Isu kontroversi mengenai seorang suspek India yang telah didera dan meninggal dunia semasa di bawah tahanan polis. Kes tersebut telah dibicarakan sebagai kes pembunuhan, dan telah menyemarakkan api kemarahan kaum India kerana ketidakpuasan hati dan mahu keadilan yang sebenar.

Gopal, 22, ditangkap kerana telah mencuri sebuah kereta dan meninggal dunia lima hari selepas penangkapannya oleh polis Subang Jaya. Keluarga mangsa telah mendakwa bahawa Gopal telah dihina dan dipukul oleh pihak polis semasa tahanannya. Mereka turut mempunyai bukti menunjukkan Gopal telah didera melalui keputusan bedah siasat mayat mangsa.

Gambar tersebut telah tersebar luas menerusi laman sesawang dan sosial serta menjadi perbualan hangat ketika itu. Seramai 50 orang, kebanyakannya adalah kaum India telah melakukan demonstrasi di kawasan parkir di luar pejabat Bukit Aman. Mereka melaungkan “We will fight, we will fight till the end” sambil memegang banner mayat mangsa.

Gopal pernah disyaki terlibat dalam kes rogol namun malangnya, mangsa rogol tidak membuat sebarang laporan dek kerana takut akan diserang oleh kumpulan suspek. Gopal juga tidak keseorangan ketika di dalam penjara. Mangsa dipenjara bersama lima orang gangster.

Berdasarkan kes tersebut, pada pendapat saya, keadilan hanya boleh ditegakkan sekiranya kalian mempunyai bukti yang cukup, kukuh lagi jitu bersertakan saksi-saksi yang berkaitan. Untuk kes Gopal ini, pihak polis telah mempunyai bukti yang cukup untuk menangkap mangsa bahawasanya dia telah mencuri kereta. Gopal merupakan seorang ahli gangster yang terkenal di Kuala Lumpur. Kalau difikir secara logiknya, adakah rasional sekiranya polis memukul mangsa yang merupakan seorang gangster bagi mendapatkan maklumat? Bagi saya, untuk mendapatkan maklumat, kita seharusnya mengikut prosedur yang betul dan melaksanakan ia satu persatu. Tetapi sekiranya dengan memukul itu adalah jalan yang terakhir demi mendapatkan maklumat, saya rasa ia patut dilaksanakan tetapi tidak melampaui batas norma seorang manusia sehingga mati.

Di sini saya ingin mengakhirkan penulisan saya dengan satu soalan. Sekiranya kita meletakkan diri kita pada mangsa dan keluarga mangsa, adakah kita akan mencari sedikit keampunan dan peluang kedua bagi membetulkan segala-galanya?

Friday 1 November 2013

Balkanisasi Siber


Hari ini, terdapat banyak berita dan masalah mengenai perpecahan kaum, moral dan bangsa berlaku berpunca daripada media baru iaitu Internet. Dunia siber yang makin pesat maju ke hadapan ini memudahkan khalayak untuk mengakses pelbagai permintaan yang mereka pinta. Impak buruk dunia tersebut sudah jelas diketahui oleh khalayak, namun kita masih tidak sedar akan pengakhirannya.  


            Inilah yang dikatakan balkanisasi siber yang telah jauh meresap ke dalam diri khalayak negara kita. Secara tuntasnya, balkanisasi adalah kebebasan yang diberi secara terus kepada rakyat yang mendorong mereka untuk terpisah, menolak perkongsian maklumat, dan lantas pada suatu tahap yang ekstrim, mereka menjadi ganas sesama sendiri. Konsep inilah yang dilihat selari dengan senario media massa terutamanya Internet. Hal ini membolehkan pengguna memperolehi apa sahaja bahan sehingga boleh membentuk kumpulan-kumpulan yang bersefahaman dan bertentangan dengan pemikiran arus perdana. 
Pelayaran laman sesawang pornografi secara terus oleh pengguna mampu memisahkan ia dari dunia luar dan menyebabkan mereka obses dengan bahan yang ditonton. Kesannya, mereka akan cuba mengaplikasikan apa yang diperolehi kepada dunia nyata. Isu pornografi ini seperti tiada titik noktahnya. Menjadi tanda tanya mengapa cadangan untuk menyekat laman web LUCAH belum lagi terlaksana lagi sepenuhnya? Langkah penyekatan ini tidak boleh dianggap menyekat hak individu. Kita sedar akan impak yang begitu besar terhadap remaja, belia malah kanak-kanak hari ini. Kalau diikutkan, bahan-bahan lucah ini wajib dibanteras atau disekat kerana ianya mendatangkan unsur-unsur negatif yang boleh menjahanamkan masyarakat. Dalam surah Al-Israa', ayat 23, menyatakan: "Dan janganlah engkau menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
    Merujuk pula kepada komunikasi tanpa tertib dalam laman siber juga mampu mengakibatkan perpecahan orang Melayu yang selama ini terkenal dengan ketinggian budi bahasanya. Menerusi Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ir. Datuk sahol Hamid Abu Bakar berkata, perkara itu dapat dlihat dalam kondisi semasa di mana perdebatan tentang sesuatu isu dibuat tanpa berlandaskan budi bahasa. Perpecahan sebergini akan menyebabkan Melayu semakin lemah dan segera diambil kesempatan oleh kaum lain.

         Sistem pentadbiran negara juga akan tergugat terutama dalam konteks politik negara. Menerusi Internet juga, sesetengah khalayak cuba mengambil kesempatan dalam menyebarkan fitnah mengenai parti pembangkang mahupun kerajaan. Mereka cuba untuk memporak-perandakan keharmonian negara dan menimbulkan ketidakpuasaan antara parti-parti politik. Penggunaan media baru ini juga akan menyebabkan wujudnya koloni-koloni yang hanya bersefahaman dan menghindarkan diri dari khalayak yang tidak sehati dengan mereka. Perpecahan sedikit demi sedikit akan menghasilkan jurang seterusnya membawa kepada keretakan ummah. Penipuan yang berterusan akan meracun minda khalayak terutama golongan belia. Pihak tertentu sewajarnya membanteras serta menapis seluruh media tradisional serta baru daripada menyebarkan bahan-bahan yang tidak ada justifikasi dan rasionalnya.
      Konklusinya, dunia siber boleh di analogi sebagai pisau yang tajam dan banyak kegunaannya tetapi jika kita tersalah guna maka buruk parahnya. Maka rakyat Malaysia seharusnya bijak dalam menggunakan medium Internet sebagai rujukan utama bukan untuk menjatuhkan atau mempunyai niat tertentu.