Wednesday 18 December 2013

PenGGunaan Media Baru & Islam

Arus pemodenan teknologi secara tidak langsung telah banyak menyumbang pada penyebaran dakwah Islam secara global. Dakwah menurut Islam adalah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil sesiapa sahaja untuk beriman dan taat kepada Allah S. W. T. selari dengan garis aqidah, syari’at dan akhlak Islam.
Antara contoh Media baru

Kewujudan elemen teknologi dilihat sebagai wahana bagi memartabatkan dakwah Islam secara cepat, tepat dan efektif. Penggunaan teknologi oleh generasi hari ini sangat luas dan sudah bermula dari seawal umur empat tahun. Pengajaran dan informasi mengenai dakwah Islam boleh disalurkan kepada pengguna secara terus dan telus. Sebagai contoh, peringatan waktu solat, pembayaran zakat secara atas talian, pengkongsian fadilat puasa secara meluas, tatacara ibadah haji dan sebagainya. Kepesatan teknologi sebergini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan penyebaran ilmu agama Islam tidak akan terhenti dengan kewujudan ia. Para pendakwah perlulah mengambil inisiatif bagi menyebarkan Islam pada zaman bermaklumat atau tekno-daei ini.
Media baharu ditakrifkan sebagai 'teknologi informasi tanpa sempadan'. Media ini menggunakan media jaringan komputer dan internet. Menerusi Wikipedia, istilah media baru adalah menerangkan kepada kita akan kemunculan media digital, komputer atau jaringan teknologi informasi dan komunikasi di akhir abad ke-20. Media baru seperti laman sosial, blog, multimedia, permainan komputer, dan Televisyen (TV) online.
Seperti yang kita ketahui, media baru mampu memberi impak yang besar terhadap kehidupan manusia hari ini. Kewujudan media baru ini mampu mengubah pola kehidupan masyarakat, budaya, cara berfikir dan segala pengetahuan mengenai aspek kehidupan manusia. Pembaharuan yang dibawa ini memberi pelbagai perspektif, yang baik dan ada juga yang buruk. Pengaksesan maklumat dengan mengguna internet boleh dilakukan di mana-mana sahaja anda berada. Dengan terciptanya telefon pintar, maka penggunaan aplikasi media sosial juga boleh dilayari.
Bertitik tolak dari kelebihan media baharu ini, Sinar Harian (7/9/2012) melaporkan bahawa Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan gerakan dakwah zakat secara maya melalui penggunaan media sosial. Laman sembang Facebook adalah antara laman media sosial yang PPZ-MAIWP guna bagi menyebarkan dakwah zakat kepada umum setelah melihat kelebihan menarik pengguna dimonopoli laman tersebut. Melalu media sosial ini segala aktiviti dan informasi PPZ-MAIWP dapat disampaikan dengan mudah kepada rakan pengguna seluruh dunia. Secara tidak langsung media ini memudahkan pengguna untuk turut menjadi pendakwah dengan mengoptimumkan fungsi di Facebook seperti wall post, notes dan pengkongsian gambar tanpa memerlukan kemahiran berceramah atau berpidato seperti pendakwah di pentas ceramah.  
Demi memanfaatkan kewujudan teknologi media baru dalam menyebarkan ilmu agama Islam, terdapat beberapa justifikasi dan peranan yang menjadi cabaran positif kepada pegamal media baru. Kita haruslah memanfaatkan para pendakwah yang mahir dalam mengurus dan mencipta suatu medan maklumat atau informasi mengenai Islam menerusi blog atau laman sosial. Kaedah ini mampu menarik masyarakat untuk mendekati dan memahami Islam serta mendapat sokongan mereka secara terus.
Pendakwah juga perlulah mewujudkan beberapa tapak di laman sesawang yang sempurna serta menarik untuk kunjungan para pengguna, terutama generasi muda dalam mendapatkan maklumat yang tepat, terkini, alternatif, interaktif dan menarik. Pelbagai ilmu agama dapat ditampilkan di laman tersebut serta mewujudkan sesi soal jawab secara terus bersama pengguna. Komunikasi secara terus ini bukan sahaja membantu pengguna untuk mendalami ilmu agama, tetapi turut berkongsi segala yang dipelajari bersama-sama teman lain. Pendakwah media baru juga perlulah memastikan segala informasi yang diberi mendapat kelulusan dan kesahihannya daripada pihak Jabatan Ugama Persekutuan atau negeri. Semua maklumat mestilah berlandaskan Al-Quran dan Ahlu al-sunnah wa al jama'ah. Maka, media baru akan menjadi instrumen dakwah yang cukup berkesan. Bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: "Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah."
Dalam penyampaian kefahaman agama Islam, perlulah diingatkan bahawa senantiasa menonjolkan akhlak Islam dan berpesan agar pengguna media baru terdidik dengan budaya Islam yang mementingkan akhlak yang cemerlang. Pendakwah juga perlulah konsisten di dalam penyebaran maklumat dengan menjauhi penyebaran fitnah, penghinaan terhadap individu lain dan sebagainya. "Berikan kemudahan kepada orang dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri daripada islam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Ini demi mengelak pandangan serong pengguna Internet terhadap Islam itu sendiri. Penggunaan Internet seantero dunia ini bukan sahaja menampilkan imej laman sesawang berbentuk keislaman tetapi turut menampakkan pengamalan agama serta kehidupan orang Islam juga. Oleh itu, perlulah diingatkan supaya mendapat sumber yang sahih, relevan serta rational dalam menjawab pertanyaan agama dan bersikap terbuka.

Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak dalam melayari Internet-photo oleh Enaph Cengar
Secara konklusinya,  media baru memainkan peranan yang penting dalam mencorak pemikiran masyarakat pada hari ini. Pelbagai kebaikan dan keburukan yang selalu kita dengari akan penggunaan media baru ini dalam menyalurkan maklumat atau informasinya. Ia hanyalah bersikap sementara dan tidak ada kesahihannya. Namun, sebagai masyarakat yang celik IT dan pandai berfikir, kita haruslah bersikap positif dalam menyokong penyebaran Islam menerusi Internet dan sebagainya. Sokongan dan galakan daripada pengguna media baru amatlah dihargai dan harus bersama-sama menggembleng tenaga dalam mengagungkan syiar Allah. Allah S. W. T. Berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam (dakwahku) yang aku sampaikan itu, hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti." (Surah Asy-Syura, ayat 23). Kita mestilah mengikuti dan menghadapi arus kemajuan sains dan teknologi maklumat secara lebih berani dan relevan. Kita semua berharap agar dengan kewujudan media baru akan menjadi senjata utama dalam memartabatkan agama Islam selaku agama rasmi dari langit demi menyusun kehidupan manusia sebagai khalifah Allah di bumi ini.