Sunday 10 November 2013

Kesalahan Diadili Keadilan

Semua orang di dunia ini melakukan kesalahan, begitu juga saya. Akan tetapi kesalahan yang dilakukan mestilah dibalas dengan hukuman yang setimpalnya dan berlandaskan undang-undang serta hak asasi manusia. Balasan yang diberi bukanlah berlandaskan emosi dan sikap dengki sesama manusia menjadi tunjang utama dalam menghukum seseorang.


Merujuk kepada tajuk penulisan saya, mari saya bawa kalian imbau kembali kematian seorang penjenayah 4 tahun lalu. Isu kontroversi mengenai seorang suspek India yang telah didera dan meninggal dunia semasa di bawah tahanan polis. Kes tersebut telah dibicarakan sebagai kes pembunuhan, dan telah menyemarakkan api kemarahan kaum India kerana ketidakpuasan hati dan mahu keadilan yang sebenar.

Gopal, 22, ditangkap kerana telah mencuri sebuah kereta dan meninggal dunia lima hari selepas penangkapannya oleh polis Subang Jaya. Keluarga mangsa telah mendakwa bahawa Gopal telah dihina dan dipukul oleh pihak polis semasa tahanannya. Mereka turut mempunyai bukti menunjukkan Gopal telah didera melalui keputusan bedah siasat mayat mangsa.

Gambar tersebut telah tersebar luas menerusi laman sesawang dan sosial serta menjadi perbualan hangat ketika itu. Seramai 50 orang, kebanyakannya adalah kaum India telah melakukan demonstrasi di kawasan parkir di luar pejabat Bukit Aman. Mereka melaungkan “We will fight, we will fight till the end” sambil memegang banner mayat mangsa.

Gopal pernah disyaki terlibat dalam kes rogol namun malangnya, mangsa rogol tidak membuat sebarang laporan dek kerana takut akan diserang oleh kumpulan suspek. Gopal juga tidak keseorangan ketika di dalam penjara. Mangsa dipenjara bersama lima orang gangster.

Berdasarkan kes tersebut, pada pendapat saya, keadilan hanya boleh ditegakkan sekiranya kalian mempunyai bukti yang cukup, kukuh lagi jitu bersertakan saksi-saksi yang berkaitan. Untuk kes Gopal ini, pihak polis telah mempunyai bukti yang cukup untuk menangkap mangsa bahawasanya dia telah mencuri kereta. Gopal merupakan seorang ahli gangster yang terkenal di Kuala Lumpur. Kalau difikir secara logiknya, adakah rasional sekiranya polis memukul mangsa yang merupakan seorang gangster bagi mendapatkan maklumat? Bagi saya, untuk mendapatkan maklumat, kita seharusnya mengikut prosedur yang betul dan melaksanakan ia satu persatu. Tetapi sekiranya dengan memukul itu adalah jalan yang terakhir demi mendapatkan maklumat, saya rasa ia patut dilaksanakan tetapi tidak melampaui batas norma seorang manusia sehingga mati.

Di sini saya ingin mengakhirkan penulisan saya dengan satu soalan. Sekiranya kita meletakkan diri kita pada mangsa dan keluarga mangsa, adakah kita akan mencari sedikit keampunan dan peluang kedua bagi membetulkan segala-galanya?

No comments:

Post a Comment